Surah Al-Fatihah
Maksud ayat :
1.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam.
3.
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4.
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5.
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami
memohon pertolongan.
6.
Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.
7.
Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang yang sesat.
Huraian :
1. Tolong! Tolong! Tolong! - Inilah yang kita selalu buat apabila berada dalam kesusahan, tidak kiralah rumah terbakar, duit habis, motor rosak, dan sebagainya. Ketika berada dalam situasi ini, kebanyakan daripada kita terus mengeluarkan telefon dan menghubungi ahli keluarga dan rakan terdekat untuk meminta pertolongan. Tetapi, berapa ramai yang menadah tangan ke langit memohon pertolongan daripada Allah? Tidakkah kita sedar bahawa Allah itu tuhan kita? Maka, sepatutnya perkara pertama yang wajib kita lakukan adalah berdoa meminta pertolongan daripada Allah.
2. Terang-terang Allah memberitahu kepada hambanya dalam ayat ke 5, dan kepada Engkaulah (Ya Allah) sahaja Kami memohon pertolongan. Hanya Allah yang boleh tolong kita! Rakan yang datang membantu hanyalah satu bentuk pertolongan yang datang daripada Allah. Jangan mengharapkan Allah datang untuk tolong kita secara langsung, kerana kita ini hanya berpangkat HAMBA. Allah itu TUHAN kita. Allah akan menghantar hamba-hambanya yang lain untuk membantu kita. Oleh itu, berserahlah diri kepada Allah.
3. Kenapa pula saya kena minta pertolongan daripada Allah? Dalam ayat pertama disebutkan Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Ditambah lagi dalam ayat kedua, Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Dan akhir sekali, dalam ayat ketiga diulang untuk kali kedua Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Allah itu MAHA PEMURAH. Maknanya, mudah memberikan sesuatu apabila diminta dengan ikhlas. Allah itu MAHA MENGASIHANI. Allah tidak akan membiarkan hambanya dalam kesusahan dan sentiasa menyayangi hamba-hambanya. Allah itu MENTADBIR SELURUH ALAM. Allah itu adalah raja kepada segala raja di dunia ini. Allah memiliki segala apa yang ada di langit dan bumi. Maka, tidak menjadi masalah bagi Allah untuk memberikan sedikit isi bumi untuk dijadikan kemudahan hambanya.
5. Lihat pada maksud ayat pertama dan ketiga. Di dalam surah ini, Allah mengulangi sebanyak dua kali tentang sifat PEMURAH dan MENGASIHANI. Kenapa Allah ulang? Selalunya apabila seseorang itu mengulangi sesuatu perkataan, dia bermaksud untuk membuktikan pada orang bahawa dia benar-benar memaksudkannya. Allah mengulangi PEMURAH dan MENGASIHANI kerana Allah hendak memberitahu kepada hambanya bahawa Allah itu sangat sangat sangat MAHA PEMURAH dan MAHA MENGASIHANI.
6. Jadi, masih ragu-ragu untuk meminta pertolongan daripada Allah?

No comments:
Post a Comment