Tuesday, December 13, 2011

Bagaimana nak jadi orang bertakwa?

Surah Al Baqarah : Ayat 1-5

MAKSUD : 

1. Alif, Laam, Miim.
2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;
3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.
4. Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
5. Mereka itulah Yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang Yang berjaya.

HURAIAN :

1. Pada permulaan Surah Al Baqarah ini, Allah memberitahu ciri-ciri dan cara-cara untuk menjadi seorang yang bertaqwa dan berjaya di dunia dan akhirat. Satu-persatu Allah tunjukkan kepada manusia agar sentiasa berada pada jalan yang lurus dan tidak terkeluar ke arah simpang kesesatan. Moga Allah memberkati kita.

2. Ciri-ciri orang bertaqwa :
  • Beriman (percaya sepenuhnya) kepada kepada perkara ghaib ; iaitu perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, seperti jin, syaitan, syurga dan neraka.
  • Mendirikan sembahyang lima kali sehari ; Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isya
  • Menderma ; membelanjakan sebahagian rezeki kita yang halal pada jalan Allah.
  • Beriman (percaya sepenuhnya) kepada Al Quran, serta tiga kitab lain iaitu Taurat, Zabur dan Injil. Walaubagaimanapun, banyak kitab-kitab terdahulu ini telah diubahsuai oleh manusia sendiri mengikut nafsu. Hanya Al Quran masih terpelihara keasliannya sehingga Hari Kiamat.
  • Beriman (percaya sepenuhnya) kepada Hari Akhirat ; iaitu hari pembalasan untuk umat manusia.
3. Ingatlah! Sesiapa yang melakukan lima perkara ini, Insyallah mereka akan sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah. Inilah kata-kata Allah yang pasti benar dan tepat!

Kitab paling dipercayai di dunia!

Surah Al Baqarah : Ayat 2

Maksud : 

(2). Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa. 

Huraian :

1. Inilah dia kitab paling dipercayai di dunia, Al Quran! Al Quran merupakan kata-kata Allah. Allah itu TUHAN kita. Kata-kata tuhan adalah kata-kata yang paling benar dan tepat. Tidak diragui lagi. Allah sendiri berfirman bahawa Al Quran ini 100% tepat! Mana ada kesilapan mahupun keraguan pada setiap ayatnya. Al Quran adalah kitab paling sempurna di dunia!

2. Sesiapa yang hendak menjadi hamba Allah yang bertakwa, maka rujuklah Al Quran. Allah memberitahu segala-galanya di dalam kitab ini.

Siapa yang patut saya minta pertolongan?

Surah Al-Fatihah

Maksud ayat :

1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Huraian :

1. Tolong! Tolong! Tolong! - Inilah yang kita selalu buat apabila berada dalam kesusahan, tidak kiralah rumah terbakar, duit habis, motor rosak, dan sebagainya. Ketika berada dalam situasi ini, kebanyakan daripada kita terus mengeluarkan telefon dan menghubungi ahli keluarga dan rakan terdekat untuk meminta pertolongan. Tetapi, berapa ramai yang menadah tangan ke langit memohon pertolongan daripada Allah? Tidakkah kita sedar bahawa Allah itu tuhan kita? Maka, sepatutnya perkara pertama yang wajib kita lakukan adalah berdoa meminta pertolongan daripada Allah.

2. Terang-terang Allah memberitahu kepada hambanya dalam ayat ke 5, dan kepada Engkaulah (Ya Allah) sahaja Kami memohon pertolongan. Hanya Allah yang boleh tolong kita! Rakan yang datang membantu hanyalah satu bentuk pertolongan yang datang daripada Allah. Jangan mengharapkan Allah datang untuk tolong kita secara langsung, kerana kita ini hanya berpangkat HAMBA. Allah itu TUHAN kita. Allah akan menghantar hamba-hambanya yang lain untuk membantu kita. Oleh itu, berserahlah diri kepada Allah.

3. Kenapa pula saya kena minta pertolongan daripada Allah? Dalam ayat pertama disebutkan Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Ditambah lagi dalam ayat kedua, Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Dan akhir sekali, dalam ayat ketiga diulang untuk kali kedua Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

4. Allah itu MAHA PEMURAH. Maknanya, mudah memberikan sesuatu apabila diminta dengan ikhlas. Allah itu MAHA MENGASIHANI. Allah tidak akan membiarkan hambanya dalam kesusahan dan sentiasa menyayangi hamba-hambanya. Allah itu MENTADBIR SELURUH ALAM. Allah itu adalah raja kepada segala raja di dunia ini. Allah memiliki segala apa yang ada di langit dan bumi. Maka, tidak menjadi masalah bagi Allah untuk memberikan  sedikit isi bumi untuk dijadikan kemudahan hambanya. 

5. Lihat pada maksud ayat pertama dan ketiga. Di dalam surah ini, Allah mengulangi sebanyak dua kali tentang sifat PEMURAH dan MENGASIHANI. Kenapa Allah ulang? Selalunya apabila seseorang itu mengulangi sesuatu perkataan, dia bermaksud untuk membuktikan pada orang bahawa dia benar-benar memaksudkannya. Allah mengulangi PEMURAH dan MENGASIHANI kerana Allah hendak memberitahu kepada hambanya bahawa Allah itu sangat sangat sangat MAHA PEMURAH dan MAHA MENGASIHANI.

6. Jadi, masih ragu-ragu untuk meminta pertolongan daripada Allah?